Pada masa ini, penggunaan laman sosial melalui
internet amat popular di Malaysia. Laman sosial seperti “Facebook”, “My Space”,
“Frienster”, dan sebagainya mendapat perhatian masyarakat di negara ini.
Penggunaannya yang mudah serta senang diakses oleh masyarakat merupakan antara
kelebihannya. Terdapat sesetengah anggota masyarakat di Malaysia yang telah
menjadikan penggunaan laman sosial di internet ini sebagai medium untuk mengisi
kekosongan waktu mereka. Hal ini disebabkan oleh aplikasi yang terdapat di
laman sosial yang canggih dapat menarik perhatian masyarakat di Malaysia.
Secara tidak langsung, penggunaan laman sosial ini memberikan kesan terhadap
gaya hidup masyarakat di Malaysia.
Penggunaan laman sosial seperti “Facebook” yang meluas dalam kalangan
masyarakat boleh menyebabkan fitnah dan mudah disebarkan kepada semua pengguna
laman sosial tersebut. Sebagai contohnya, negara kita pernah digemparkan dengan
satu berita perceraian yang berlaku dalam akaun facebook. Hal ini telah
mendapat kritikan daripada majoriti rakyat Malaysia yang menyifatkan bahawa
perbuatan sedemikian amat memalukan kita kerana telah mencemarkan keluhuran
peribadi sebagai penganut agama Islam. Selain itu, implikasi seperti itu telah
menyebabkan segelintir pengguna aplikasi tersebut yang tidak bertanggungjawab
dan mencetuskan kontroversi di alam maya, sehingga mengaibkan seseorang.
Jelaslah bahawa penggunaan laman sosial akan menghakis semangat persaudaraan
seerta mencemarkan kedaulatan negara sebagai negara yang disegani dan
berintegriti.
Kesan lain penggunaan laman sosial melalui internet menyebabkan berlakunya
banyak penipuan atau pemalsuan. Hal ini demikian kerana,
terdapat banyak kes penipuan yang berlaku terutamanya dalam kalangan remaja
perempuan. Perkara ini disebabkan oleh mereka yang baru dikenalinya melalui
laman sosial. Mereka biasanya akan mengikut semua kemahuan yang diminta oleh
rakan dalam laman sosial tersebut. Sebagai contohnya, perkara ini berlaku
apabila pasangan dalam laman sosial menghantar sistem pesanan ringkas(sms)
untuk membuat temu janji dengan menyatakan tempat dan masanya. Seterusnya,
remaja perempuan tersebut akan pergi ke tempat yang telah dinyatakan tanpa
berfikir panjang. Namun demikian, setibanya di tempat yang dinyatakan oleh
kenalan laman sosial itu, mereka mungkin ditipu dan ada juga yang telah menjadi
mangsa rogol.
Penggunaan laman sosial juga melahirkan masyarakat yang beku dan lalai
dalam melakukan sesuatu tugasan. Kepelbagaian aplikasi yang
menarik seperti permainan yang terdapat dalam laman sosial mampu menarik minat
pengguna laman sosial tersebut. Hal ini menyebabkan pengguna akan berasa
seronok sehingga leka dan lalai untuk menyempurnakan urusan mereka. Tambahan
pula, penggunaan laman sosial juga memberikan kesan kepada prestasi kerja dan
pelajaran dalam kalangan anggota masyarakat. Hal ini akan menyebabkan negara kita mengalami kebejatan idea untuk
meningkatkan prestasi negara. Golongan pelajar yang menjadi tunjang
kecemerlangan negara tidak dapat dilahirkan ekoran penggunaannya yang
melalaikan masyarakat. Oleh itu, penggunaan laman sosial akan melahirkan tenaga
kerja yang kurang berkualiti.
Kesan penggunaan laman sosial yang seterusnya ialah tersebarnya
pengaruh atau unsur pornografi daripada Barat ke dalam kehidupan masyarakat.
Unsur pornografi mudah didapati di laman sesawang internet. Unsur pornografi
seperti bahan bacaan, gambar, dan video mudah diakses dan disebarkan oleh
pengguna laman sosial tersebut. Hal ini demikian kerana, laman sosial seperti
“Facebook” dan “My Space” diakses bukan sahaja oleh rakyat Malaysia malahan
seluruh penduduk di dunia. Selain itu, budaya Barat seperti “Black Metal”,
“Punk”, “Gothic”, dan “Skin Head” akan menular dalam pemikiran remaja di
Malaysia. Perkara ini akan mempengaruhi remaja untuk meniru budaya sehingga
wujud budaya hedonisme dan gengsterisme di sekolah. Jelaslah bahawa penggunaan
laman sosial dapat mempengaruhi pemikiran anak muda sehingga menghakis
nilai-nilai moral masyarakat.
Penggunaan laman sosial juga memberikan kesan kepada kedaulatan bahasa
Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Kedaulatan bahasa Melayu akan tercemar ekoran
daripada kemunculan bahasa slanga atau lebih dikenali sebagai bahasa rojak.
Penggunaan bahasa rojak dalam kalangan masyarakat amat membimbangkan
cendekiawan bahasa di Malaysia kerana penggunaanya semakin meluas. Penularan
bahasa rojak ini akan menghakis keaslian dan nilai-nilai estetika bahasa Melayu
sebagai bahasa rasmi negara kita. Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa
penggunaan teknologi ini boleh mencemarkan kedaulatan bahasa Melayu yang
menyebabkan kita seperti ditelan mati emak, diluah mati bapak.
Kesimpulannya, penggunaan laman sosial melalui internet memberikan kesan
terhadap corak kehidupan masyarakat di Malaysia. Oleh itu, ibu bapa perlu
memainkan peranan penting untuk mengelakkan kesan buruk akibat penggunaannya
kerana mencegah lebih baik daripada mengubati. Selain itu, masyarakat perlu
mempunyai disiplin dan ketahanan diri bagi mengubah corak hidup dengan
menggunakan laman sosial itu untuk kegunaan yang baik dan aktiviti-aktiviti
yang bermanfaat bagi meningkatkan kecekapan minda masyarakat supaya menjadi
minda kelas pertama. Masyarakat juga perlu memastikan penggunaan teknologi ini
dapat diseimbangkan tanpa berlaku pengeksploitasian dalam kehidupan
bermasyarakat di Malaysia.
Borgata Hotel Casino & Spa - Mapyro
ReplyDeleteFind 안동 출장안마 the best Borgata 의정부 출장안마 Hotel Casino & Spa in Atlantic City (New Jersey), United States and 20 세종특별자치 출장샵 photos. Borgata Hotel Casino & 세종특별자치 출장샵 Spa. Atlantic City 창원 출장마사지