Punca-Punca Pemanasan Global
Kita sering melihat kesan pencemaran alam yang banyak berlaku
pada masa ini. Keadaan ini sudah berubah jika dibandingkan dengan suatu masa
dahulu iaitu udaranya lebih nyaman serta keadaan cuaca yang tidak terlalu
panas. Perkara ini membolehkan manusia menjalani kehidupan dengan selesa. Walau
bagaimanapun, keadaan bumi pada masa kini yang terlalu panas telah memberikan
kesan negatif kepada kehidupan manusia dan juga alam sekitar. Hal ini
diibaratkan seperti manusia hidup di dalam balang kaca yang panas. Oleh hal
yang demikian, masyarakat seharusnya tahu punca-punca yang menyebabkan
pemanasan global ini berlaku agar dapat mencari ikhtiar untuk menaganinya.
Terdapat banyak punca yang menyebabkan
pemanasan global, antaranya perkara itu disebabkan oleh aktiviti manusia yang
tidak terkawal di dunia ini. Hal ini demikian kerana perkara yang sering kita
lihat yang melibatkan aktiviti manusia seperti penerokaan hutan dan pertanian
pindah. Mereka membakar kawasan yang telah dijadikan kawasan pertanian untuk dijadikan
sebagai baja organik dan mereka membuka pula pertanian baharu di kawasan lain
untuk mendapatkan hasil pertanian yang lebih banyak. Namun begitu, secara tidak
langsung pembakaran tersebut telah menyebabkan haba terperangkap di udara dan
akhirnya menyebabkan suhu semakin panas.
Selain itu, faktor lain yang
menyebabkan berlakunya pemanasan global ialah pembebasan gas-gas yang berbahaya
secara tidak terkawal. Menurut data yang dikeluarkan oleh Bank Dunia, Amerika
Syarikat telah disenaraikan sebagai pengeluar gas karbon dioksida terbesar
dunia dengan jumlah 60005 tan. Peningkatan gas karbon dioksida di atmosfera
merupakan penyebab utama pemanasan global yang terhasil daripada pembakaran
bahan api fosil, penggunaan minyak petrol dan pembakaran arang batu. Oleh hal
yang demikian, pihak yang terlibat secara langsung dalam kes tersebut wajar
melakukan anjakan paradigma dan menyembuhkan luka yang dialami oleh bumi ini.
Masyarakat juga harus mengatasi masalah ini sebelum ‘nasi menjadi bubur’.
Di samping itu, kegiatan perindustrian
turut menjadi faktor pemanasan global berlaku. Hal ini demikian kerana kegiatan
perindustrian yang pesat membangun akan menghasilkan gas-gas berbahaya seperti
karbon monoksida. Para saintis di Amerika Syarikat telah membuat ramalan bahawa
peningkatan suhu bumi akan berlaku sebanyak 45 darjah celcius menjelang tahun
2030. Oleh itu, masyarakat janganlah mengamalkan peribahasa “Bagai enau
dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing”. Oleh hal yang demikian,
mereka seharusnya mencegah perkara-perkara negatif sebelum berlaku selaras
dengan pepatah, ‘mencegah lebih baik daripada mengubati’.
Pembakaran terbuka juga menjadi punca
berlakunya pemanasan global di muka bumi kita ini. Banyak pembakaran terbuka
yang telah dilakukan oleh individu yang tidak bertanggungjawab. Kesan daripada
kegiatan tersebut menyebabkan gas karbon dioksida terhasil serta terbebas di
udara dan seterusnya memerangkap haba. Oleh hal yang demikian, pihak kerajaan
seharusnya memperketat undang-undang agar mereka tidak berani membuat sebarang
kesalahan di muka bumi ini. Rentetan daripada perkara itu, masalah jerebu yang
sering melanda dunia juga akan berkurangan. Kita seharusnya sesal
dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna, iaitu sebelum keadaan bumi
kita ini menjadi lebih melarat lagi.
Namun begitu, masih terdapat faktor
lain yang menjadi penyebab kepada pemanasan global seperti pembinaan bangunan
pencakar langit. Di bandar besar seperti Kuala Lumpur, bangunan-bangunan tinggi
yang tersergam indah itu juga sebenarnya memberikan impak negatif kepada muka
bumi kita ini. Hal ini demikian kerana pantulan daripada matahari yang
menembusi cermin bangunan boleh menyebabkan haba terperap di kawasan atmosfera.
Dengan cara ini, masyarakat seharusnya janganlah mengambil mudah seperti
melepaskan batuk di tangga, dengan mengejar segala arus pembangunan tetapi
menyebabkan kesan negatif kepada hidupan lain. Maka, jelaslah bahawa
ketidakseimbangan manusia mengeksploitasi khazanah bumi merupakan faktor
berlakunya pemanasan global.
Kesimpulannya, nilai kemanusiaan yang
semakin menipis, iaitu senipis kulit bawang ini merupakan faktor tercetusnya
pemanasan global di muka bumi ini. Sehubungan dengan itu, setiap individu dan
insan di dunia ini perlu memupuk semangat cinta akan alam sekitar agar bumi
yang sedang sakit ini dapat dipulihkan semula. Kita berharap agar fenomena
pemanasan global yang sedang melanda dunia sekarang ini akan berakhir dengan
segera agar keselamatan dan kesejahteraan hidup makhluk di dunia ini akan
berkekalan. Pihak kerajaan pula perlulah lebih peka terhadap masalah global
yang semakin bernanah ini malah perlu menguatkuasakan undang-undang yang lebih
tegas agar masyarakat lebih prihatin dengan nasib bumi ini. Oleh itu, Mahatma
Gandhi pernah berkata, “kita tidak mewarisi alam ini daripada datuk nenek kita,
tetapi kita meminjamnya daripada anak cucu kita”.
No comments:
Post a Comment